Sorting by

×

16 PEGAWAI, ANGGOTA POLIS DIBUANG KERJA JANUARI LALU – JIPS

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR 28 Februari – Seramai 16 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan buang kerja sepanjang Januari lalu atas pelbagai kesalahan salah laku serta tatatertib termasuk berkaitan kes penyalahgunaan dadah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, tindakan dikenakan bagi memastikan PDRM kekal sebagai sebuah agensi berintegriti dan bebas daripada unsur mencemarkan imej pasukan.

“Empat yang dibuang adalah pegawai kanan berpangkat inspektor, sementara itu 12 lagi melibatkan anggota pangkat rendah. Sebanyak 10 kes membabitkan dadah, empat berkaitan integriti, manakala masing-masing satu kes jenayah dan rasuah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azri berkata, sekiranya pegawai atau anggota disabitkan kesalahan di mahkamah, mereka akan melalui proses tatatertib yang biasanya berakhir dengan tindakan buang kerja.

“Proses tatatertib ini berbeza mengikut pangkat yang mana bagi anggota berpangkat rendah, Lembaga Tatatertib dipengerusikan pegawai berpangkat Asisten Komisioner bersama dua Superintendan,” katanya.

Mengakui proses tindakan tatatertib ketika memakan masa yang panjang, Azri berkata PDRM mencadangkan melakukan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PPPA (K&T) 1993) untuk mempercepatkan tindakan ke atas pegawai dan anggota yang melanggar disiplin.

“Selama ini kita terikat dengan peraturan Perkhidmatan Awam 1993 yang diguna pakai untuk semua penjawat awam. Namun, memandangkan kuasa PDRM besar dan harapan masyarakat tinggi, peraturan khusus diperlukan bagi memastikan tindakan lebih pantas dan efektif,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pindaan ini bukan untuk menindas sesiapa, tetapi bertujuan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap PDRM serta mengubah persepsi negatif terhadap pasukan keselamatan itu.

Dalam pada itu, PDRM kini sedang membangunkan Pelan Pencegahan Rasuah PDRM untuk memperkukuh integriti, memperbaiki tadbir urus serta membanteras rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota.

“Pelan ini bukan sekadar dokumen dasar, tetapi komitmen PDRM untuk memastikan gejala rasuah dibanteras sepenuhnya,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post TYT, KM HADIR CERAPAN HILAL RAMADAN
Next post TMM2024 SERLAH KEUNGGULAN MELAKA