Sorting by

×

GTP PENCAPAIAN BERSEJARAH LANDSKAP INDUSTRI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BEMBAN 28 Februari – Pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) yang dibangunkan dalam dua fasa menjadi satu lagi pencapaian bersejarah dalam landskap pembangunan taman perindustrian Negeri Melaka.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, projek berkenaan bakal menjadi satu lagi mercu kejayaan projek kemajuan perindustrian berteknologi tinggi yang bakal merancakkan lagi ekonomi dan pembangunan sektor pembuatan di negeri ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP) memaklumkan, GTP yang berkeluasan 169.41 hektar itu akan menjadi hab industri yang menggalakkan inovasi, daya saing dan kemajuan industri pembuatan berasaskan teknologi terkini.

“Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pembangunan ini kerana ia melambangkan satu lagi langkah besar ke arah kemajuan negeri.

“Pembangunan kawasan perindustrian ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing Melaka dalam sektor teknologi tinggi, bahkan ia membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pelaburan industri berimpak tinggi.

“Pada masa sama, pembangunan GTP ini juga adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri yang ditadbir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sangat berdaya maju, progresif, dinamik dan mesra pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Taman Teknologi Jerman (GTP) yang disempurnakan Ketua Menteri di Kawasan Bandar Hijau, Mukim Ayer Panas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; Timbalan Pengarah Eksekutif Malaysian German Chamber Of Commerce (MGCC) Tara Meite serta lain-lain kenamaan.

Khaidhirah memaklumkan, pembangunan GTP bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka, bahkan ia juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan.

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka optimis GTP berupaya merealisasikan hasrat menjadikan negeri ini sebagai hab pendidikan berdaya saing dan hab TVET antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post GTP JADI PUSAT PEMINDAHAN TEKNOLOGI JERMAN
Next post DZULKHAIRI KETUA POLIS MELAKA YANG BAHARU