Sorting by

×

TAMAN TEKNOLOGI JERMAN DIBANGUNKAN DALAM DUA FASA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BEMBAN 28 Februari – Taman Teknologi Jerman (GTP) iaitu kawasan perindustrian berteknologi tinggi bagi Negeri Melaka bakal memulakan pembangunannya dalam dua fasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi fasa pertama ia bakal merangkumi pembangunan lot tanah industri, premis komersial, pusat riadah dan asrama pekerja yang dijangka siap pada tahun 2027.

Fasa kedua pula, jelas beliau, membabitkan pembangunan lot industri, kompleks perniagaan dan hab logistik bagi menyokong keperluan industri, sekali gus melengkapkan GTP.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan anggaran kos pembangunan berjumlah RM227.8 juta bagi membangunkan keseluruhan 169.41 hektar taman teknologi baharu itu.

“Kita akan memastikan prasarana awal telah disediakan bagi menarik pelabur masuk dan bertapak di lebih 100 lot yang ada dalam GTP ini.

“Kita yakin pembangunan kawasan industri baharu ini akan membuka lebih 10,000 peluang pekerjaan dan seterusnya melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi terdiri daripada kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Teknologi Jerman (GTP) di Kawasan Bandar Hijau, Mukim Ayer Panas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; Timbalan Pengarah Eksekutif Malaysian German Chamber Of Commerce (MGCC) Tara Meite serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri memaklumkan, setakat ini sudah ada beberapa syarikat Jerman yang berpangkalan di Asia Tenggara telah menunjukkan minat untuk memindahkan operasinya di Melaka menerusi pembangunan GTP.

“Kita sedang dalam proses untuk mempromosikan kepada syarikat-syarikat berkenaan tentang kelebihan melabur di Melaka berbanding kawasan yang mereka bertapak sekarang,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post RINGAN, SELESA, BEBAS BERJALAN PAKAI ‘KAKI’ BAHARU
Next post GTP JADI PUSAT PEMINDAHAN TEKNOLOGI JERMAN