
96 PERATUS PERANCANGAN FASA 1 PSMJ 2035 TERLAKSANA PADA 2024
BANDARAYA MELAKA 27 Februari – Sebanyak 96 peratus daripada keseluruhan perancangan Fasa 1 Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 berjaya dilaksanakan sepanjang tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, PSMJ 2035 merupakan ‘living document’ yang merangkumi pelan perancangan penting buat Kerajaan Negeri.
Tegas Ketua Menteri, semua pihak berkenaan perlu melihat PSMJ 2035 daripada sudut yang serius dan ia perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan serta pelaksanaan.
“Kita berada di penghujung Fasa 1 PSMJ 2035, menerusi ‘reality check’ dilakukan keatas setiap pelan tindakan, Kerajaan Negeri mencapai 96 peratus kebolehlaksanaan PSMJ pada tahun 2024.
“Saya juga zahirkan tahniah kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri yang memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjayakan pelan ini,” katanya ketika ketika menyampaikan Ucapan Rumusan dan Perasmian Penutup Konvensyen Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut mengingatkan semua jabatan dan agensi untuk memberikan usaha luar biasa melalui fungsi yang juga luar biasa.
“Sebagai pemimpin yang berwibawa, kita perlukan transformasi dan bertindak proaktif beradaptasi dengan cara baharu sejajar dengan arus perubahan yang terlaksana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.