
MELAKA LEPASI SASARAN, CATAT NILAI PELABURAN RM8.18 BILION PADA 2024
BANDARAYA MELAKA 27 Februari – Melaka merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM8.18 bilion pada tahun lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, pencapaian amat positif itu, sekali gus melepasi sasaran pelaburan RM5 bilion yang ditetapkan Kerajaan Negeri.
“Perkembangan ini secara tidak langsung membuktikan Melaka sebagai sebuah negeri dan destinasi perniagaan yang mesra serta semakin diyakini pelabur,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Rumusan dan Perasmian Penutup Konvensyen Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.