
IBU TUJUH ANAK JOHAN TILAWAH AL-QURAN
PENGKALAN BATU 27 Februari – Mengalami masalah sakit tekak hingga menjejaskan kualiti suaranya langsung tidak melemahkan semangat Sarrul Munirah Haris, 42, untuk menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Melaka Tahun 1446H/2025M di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, baru-baru ini.
Namun bimbingan suami dan semangat tidak cepat mengalah membantu ibu kepada tujuh anak ini mengalunkan bacaan terbaik hingga dinobatkan Johan Kategori Tilawah Al-Quran (Qariah), MTHQ Negeri Melaka 1446H/2025H.
Atas kejayaan itu Sarrul Munirah, terpilih mewakili Melaka ke MTHQ peringkat kebangsaan dijadualkan Mei ini, dia juga membawa pulang wang tunai RM8,000 beserta pakej umrah bernilai RM10,000.
“Sudah lapan kali saya menyertai MTHQ, namun kali ini diumumkan johan qariah, semuanya adalah hasil bimbingan suami, persiapan dan latihan memang saya lakukan di rumah.
“Suami saya memang guru al-Quran, jadi rutin setiap hari selepas solat Maghrib dia (suami) akan melatih saya daripada segi bacaan, sebutan dan sebagainya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu hadiah kemenangan disampaikan Yang di-pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Sarrul Munirah berkata, ilmu al-Quran tidak asing bagi diri dan ahli keluarga yang lain, kerana ibu dan bapanya adalah qari dan qariah sejak dari usia muda.
“Sejak kecil ibu dan ayah dedahkan saya kepada ilmu al-Quran. Jadi apabila sudah berkeluarga saya pula teruskan amalan itu, saya bermula sejak awal, masa yang terbaik adalah ketika anak mula belajar bercakap.
“Ketika masih kecil amat sesuai untuk ajar anak mengenal huruf, malah ketika mendodoikan mereka saya mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran hingga anak terlena,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.