
JEJANTAS TUN TEJA JADI KEBANGGAAN ORANG MELAKA
PENGKALAN BATU 27 Februari – Berkonsepkan reka bentuk Istana Melaka yang mempunyai ciri-ciri seni dan budaya selain disulami seni bina Melayu, Jejantas Tun Teja kini menjadi ikon pelancongan baharu negeri ini.
Mengguna pakai teknologi lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna-warni menjadikan suasana pada waktu malam di kawasan itu lebih meriah dan menarik.
Malah dengan pembukaan jejantas itu yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh baru-baru ini, jejantas itu diyakini bakal menjadi penyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri.
Sudah pastinya, Jejantas Tun Teja yang sebelum ini dikenali sebagai Jejantas Melaka Sentral menjadi kebanggaan rakyat Melaka.
Bagi pengunjung Siti Fadzillah Ramli, 47, pemandangan dan reka bentuk Jejantas Tun Teja amat berlainan malah lebih menarik dan memukau pandangan.
“Hasil naik taraf dilakukan oleh Kerajaan Negeri amat mengagumkan dan memberi satu lembaran baru kepada sektor pelancongan Melaka.
“Malah suasana dan infrastrukturnya juga memang berbeza selain lebih bersih berbanding dahulu kelihatan agak tidak terurus,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Jejantas Tun Teja.

Siti Fadzillah yang menetap di Ayer Limau, Masjid Tanah berkata, sebagai rakyat Melaka dia amat berbangga kerana mempunyai satu tarikan yang tidak semua negeri ada.
“Ia bakal menjadi lokasi tarikan pelancong kerana sudah pastinya orang ramai tertarik untuk datang dan bergambar.
“Malah saya sendiri akan datang lagi selepas ini pada waktu malam untuk merasai suasana dan keindahan cahaya lampu warna-warni,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Latifah Awang, 61, berkata, dengan adanya ikon baharu ia secara tidak langsung boleh memangkin sektor pelancongan negeri menerusi kedatangan pengunjung dan pelancong dari luar Melaka.
“Sebagai orang Melaka saya betul-betul teruja kerana keadaan Jejantas Tun Teja amat berbeza dengan jejantas sebelum ini, senang kata lagi gah.
“Pastinya ia akan menjadi tarikan pelancong apabila ke Melaka dan menariknya juga diatas jejantas ini turut dilengkapi kios jualan.
“Apabila ramai pengunjung yang datang ia secara tidak langsung akan memberi limpahan rezeki kepada peniaga setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.