Sorting by

×

‘LUPA RASA SAKIT DAPAT BERBUAL DENGAN KETUA MENTERI’

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PENGKALAN BATU 25 Februari – Perasaan teruja dapat berjumpa empat mata dengan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, membantu Shaari Sahak, 49, melupakan seketika kerunsingan berikutan pelbagai komplikasi kesihatan dialaminya akibat masalah diabetes.

Dia yang kini tidak mampu berjalan dan lebih banyak menghabiskan masa berbaring di atas katil kelihatan ceria ketika menerima kunjungan Ketua Menteri yang diiringi, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin, di kediamannya di Kampung Peringgit, di sini, pada Ahad.

Lawatan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Katanya, kunjungan Ketua Menteri dan pemimpin negeri secara tidak langsung membantu menyuntik semangat dalam dirinya untuk melawan rasa sakit akibat masalah kesihatan dialaminya.

“Rasa terharu apabila Ketua Menteri sendiri mengetuai rombongan, perkara ini memang tidak pernah saya jangka. Saya sangka cuma ziarah kasih biasa sahaja, tetapi amat istimewa kerana Ketua Menteri sendiri datang bertanya khabar.

“Kesempatan berkongsi masalah kesihatan bersama Ketua Menteri, membuatkan saya berasa lega, dapat juga meluahkan keresahan yang terpendam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, selain bertanya khabar, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan kit makanan dan wang tunai untuk perbelanjaan anaknya yang kini sedang menyambung pelajaran di peringkat diploma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

116
Kongsi :
Previous post ANAK PENGKALAN BATU HEBAT DI LITAR TERIMA ANUGERAH IKON SUKAN
Next post PANTAI HOSPITAL AYER KEROH BERJAYA LAKSANA 30 PEMBEDAHAN ROBOTIK