Sorting by

×

MELAKA NEGERI PERTAMA BERI 3 HARI CUTI UMUM HARI RAYA AIDILFITRI

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 24 Februari – Melaka menjadi negeri pertama memberikan cuti umum Hari Raya Aidilfitri selama tiga hari tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tambahan sehari lagi berbanding dua cuti umum yang diumumkan di peringkat persekutuan adalah memandangkan Melaka tidak lagi mengambil cuti umum pada Awal Ramadan.

Beliau berkata, ia sekali gus memberi peluang kepada umat Islam meraikan perayaan Aidilfitri tahun ini lebih lama dan meriah.

“Pada kelaziman, setiap Kerajaan Negeri diberi peluang untuk memilih empat hari cuti umum dan antara yang kita tetapkan adalah Hari Kebesaran seperti Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri dan Awal Ramadan.

“Tetapi kita membuat keputusan untuk tidak lagi mengambil cuti umum Awal Ramadan, sebaliknya, ia dipindahkan menjadi cuti umum pada hari ketiga Hari Raya Aidilfitri dan menjadikan Melaka sebagai negeri pertama memberikan cuti tiga hari sempena Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Februari 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ab Rauf turut meminta pemantauan berterusan dilakukan di setiap bazar Ramadan dan Aidilfitri di setiap tiga daerah di negeri ini.

Menurut beliau, agensi berkaitan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu cakna sekiranya ada komen atau aduan daripada rakyat terhadap pengurusan sesebuah bazar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

697
Kongsi :
Previous post PUTRA SPECIALIST HOSPITAL KEKAL RELEVAN, BERDAYA SAING
Next post DUA MAUT DALAM KEBAKARAN BILIK TRANSFORMER KILANG DI TANGGA BATU