Sorting by

×

PUTRA SPECIALIST HOSPITAL KEKAL RELEVAN, BERDAYA SAING

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 24 Februari – Pusat perubatan Putra Specialist Hospital (PSH), kini menjadi rujukan utama pesakit mahu mendapatkan rawatan kesihatan bukan sahaja dari sekitar wilayah selatan Malaysia, sebaliknya Kepulauan Riau, Indonesia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, apa yang membanggakan adalah, sejak ditubuhkan pada 1995 PSH kekal relevan dan berdaya saing antara pusat perubatan swasta lain di negara ini.

Kata Ketua Menteri, dalam tempoh tiga dekad PSH sentiasa mencari ruang untuk maju dan terbaharu pusat perubatan swasta itu mengukuhkan lagi kedudukannya selepas dipilih menjalin kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) sebagai Pusat Penyediaan Perkhidmatan Kardiologi dan Pembedahan Kardiotorasik.

“Kerjasama ini diyakini dapat mengukuhkan lagi peranan PSH dan IJN sebagai fasiliti hospital pakar rujukan khususnya kepada pesakit dari wilayah selatan dan Kepulauan Riau.

“Pada masa yang sama, PSH juga bergiat aktif menjalinkan kerjasama sebagai rujukan utama pesakit daripada Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN) yang mempunyai seramai 35 juta ahli daripada pelbagai industri dan agensi korporat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Februari 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, bagi terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan, sekali gus merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan kesihatan di Melaka, Kerajaan Negeri berhasrat membangunkan Projek PUTRA 2 yang bakal dibina di atas sebahagian tanah milik Perbadanan Melaka (MCORP) di Bukit Beruang dengan jangkaan beroperasi pada 2030.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada kepada PSH dipimpin Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Zahiruddin Ahmad kerana mengambil tanggungjawab menyelaras penganjuran perhimpunan bulanan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka pada kali ini.

“Saya percaya, atas usaha, semangat dan komitmen seluruh warga kerjanya, PSH berpotensi untuk terus maju ke hadapan dengan mentransformasi perkhidmatan kesihatan dengan lebih berkualiti serta berteknologi tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

229
Kongsi :
Previous post MELAKA TUBUH SEKRETARIAT WORLD TOURISM MELAKA
Next post MELAKA NEGERI PERTAMA BERI 3 HARI CUTI UMUM HARI RAYA AIDILFITRI