Sorting by

×

8 FOKUS PENTING PENJAWAT AWAM, KETUA JABATAN MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 24 Februari – Bagi memastikan hala tuju Kerajaan Negeri selari dengan landasan dan garis masa sebagai sebuah negeri yang inklusif, lestari dan makmur, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menggariskan lapan fokus baharu.

Menurut Ab Rauf, lapan perkara penting itu perlu diambil perhatian serius semua penjawat awam, khususnya ketua-ketua jabatan dalam terus menjayakan segala aspirasi Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, fokus pertama adalah memperkukuh pembangunan sektor pelancongan Negeri Melaka memandangkan negeri ini telah dipilih sebagai peneraju sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Forum Pelancongan Sedunia (WTC) pada September depan.

Ketua Menteri memaklumkan, sebuah pasukan yang dinamakan Sekretariat World Tourism Melaka (WTM) telah ditubuhkan sebagai badan induk yang akan menyelaras, memantau dan membangunkan sektor pelancongan, kebudayaan dan kesenian sempena sambutan tersebut.

Justeru, beliau menyeru agar semua ketua jabatan kerajaan mahupun persekutuan cakna berkenaan sambutan ini agar dapat menjadi duta-duta kecil negeri Melaka bagi menjayakan program Hari Pelancongan Sedunia 2025 sekali gus menghebahkan semua program kepada rakyat.

“Perkara kedua adalah memperkasa perkhidmatan kerajaan terhadap rakyat menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan saya menyeru kepada jabatan, agensi dan semua yang terlibat dapat menambah baik segala program yang direncanakan sepanjang program WRUR di DUN-DUN yang berikutnya selepas ini.

“Fokus ketiga adalah melestari alam sekitar khususnya menjaga kebersihan tempat pelancongan seperti Sungai Melaka yang menjadi nadi tumpuan utama pelancongan.

“Keempat, memperkasa kemampanan pembangunan di Negeri Melaka dengan memandang serius terhadap projek-projek pembangunan yang dilaksanakan mestilah diberikan keutamaan berdasarkan keperluan rakyat yang bersifat ‘urgent’ dan ‘most priority sekali gus memberi impak besar terhadap kesejahteraan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Februari 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, fokus kelima adalah menyuburkan nilai patriotisme menerusi pelbagai program yang dapat menyubur serta menghidupkan semangat cintakan negara dan negeri dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.

Selain itu, penjawat awam dan ketua-ketua jabatan juga diminta memperhebat hala tuju Kerajaan Negeri seiring dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) yang menjadi indikator mengukur kecemerlangan pelaksanaan projek dan program.

“Untuk mencapai tujuan itu sekali gus bergerak ‘on track’… sebuah Konvensyen Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 akan diadakan pada 26 dan 27 Februari depan bertempat di Hotel Dusit Princess, Melaka.

“Saya tegaskan bahawa, platform ini sewajarnya dimanfaatkan sebaiknya oleh semua YB Exco, YB Adun bersama pihak sekretariat bagi menyelaras strategi, pelan tindakan dan indikator dalam merencana perancangan pembangunan mengikut portolio masing-masing bagi tahun 2025 agar apa jua program mahupun pembangunan dipacu dengan lebih terancang dinamik dan berdaya maju,” katanya.

Menurut Ketua Menteri, perkara ketujuh adalah memperkasa sektor sukan dalam kalangan perkhidmatan awam dan terakhir membudayakan prinsip integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kualiti perkhidmatan awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post ‘RIVER GUARDIAN BOAT’ JAGA KELESTARIAN SUNGAI MELAKA
Next post MELAKA TUBUH SEKRETARIAT WORLD TOURISM MELAKA