
1,400 MERIAHKAN KEJOHANAN PIALA KETUA MENTERI, PIALA DATIN SERI UTAMA ZURIYAH
BIDARA 23 Februari – Kejohanan Bola Sepak / Sepak Takraw Piala Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh & Bola Jaring Piala Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz Sekolah-Sekolah Peringkat Parlimen Masjid Tanah, mencipta beberapa keputusan yang mengejutkan.
Pengerusi Pertandingan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, berkata perkara itu mencerminkan perkembangan sektor sukan khusus peringkat sekolah rendah serta mencegah yang semakin positif.
Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, antara keputusan menarik adalah bagi bola sepak bawah 18 tahun apabila muka baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Udang muncul johan selepas menewaskan SMK Rahmat.
“Kita juga dapat melihat peningkatan mendadak prestasi wakil Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Redan yang menjuarai bola sepak bawah 12 tahun, sementara itu wakil bola jaring bawah 12 tahun sekolah ini juga layak ke perlawanan akhir.
“Pencapaian ini amat membanggakan kerana SK Lubok Redan terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara ada sebuah sekolah yang tidak ramai murid tetapi mampu memberikan saingan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan itu yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merangkap Adun Tanjung Bidara di Padang Bola Sepak Kampung Jeram, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Timbalan Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.
Yang turut hadir Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfuzah Mohamed Noor.
Katanya, penganjuran kejohanan itu juga dimeriahkan dengan penyertaan baharu seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah yang muncul juara bola jaring kategori bawah 18 tahun, selain Sekolah Menengah Tahfiz Al Quran Al Abqari yang dinobatkan johan sepak takraw bawah 15 tahun.
Menurutnya, kejohanan itu melibatkan pertandingan bola sepak, sepak takraw dan bola jaring yang dibahagikan kepada kategori bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun.
“Sejak lima hari lalu, kejohanan melabuhkan tirai hari ini melibatkan penyertaan lebih 1,400 murid dan pelajar sekolah dalam Parlimen Masjid Tanah. Alhamdulillah penyertaan juga meningkat berbanding tahun sebelum ini, semua pasukan bersaing secara sihat, banyak kejutan dicipta dan tahniah kepada pemenang.
“Sudah pasti kejohanan seperti menjadi medan untuk kita mencari bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Insya-Allah kita akan jadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.