
‘SAYA BERSYUKUR ADA PASUKAN HEBAT’
PENGKALAN BATU 24 Februari – Kejayaan penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Pengkalan Batu selama dua minggu bukan hanya disebabkan wakil rakyat tetapi juga semua pihak di belakangnya.
Itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin yang bersyukur kerana memiliki sebuah pasukan yang bukan sahaja hebat, tetapi juga bekerja keras untuk menyelami permasalahan rakyat.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti negeri berkata, faktor komunikasi yang jelas juga dapat membantu dalam menjayakan sesebuah tanggungjawab yang diberikan.
“Alhamdulillah sepanjang dua minggu program WRUR DUN Pengkalan Batu ini saya mempunyai pasukan yang hebat-hebat.
“Saya rasa lega kerana ramai yang membantu termasuk agensi dan jabatan Kerajaan Negeri, selain sokongan padu Ketua Menteri dan kepimpinan Kerajaan Negeri sendiri dalam menjayakan setiap agenda yang dirancang,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas penutup Program WRUR DUN Pengkalan Batu, semalam.
Majlis perasmian program itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Melaka Sentral, di sini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Kalsom, walaupun berdepan susunan sebanyak 167 program, namun dengan kerjasama pelbagai pihak kesemuanya berjaya dilaksanakan dalam tempoh dua minggu.
“Ramai mengatakan jumlah program ini terlalu banyak untuk dilaksanakan, tetapi bagi saya kita mempunyai cara yang tersendiri.
“Menerusi WRUR DUN Pengkalan Batu ini ia terbukti semuanya berjaya diselesaikan, terima kasih kepada pasukan saya yang banyak membantu semasa aktiviti turun padang dan penganjuran pelbagai program bersama rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.