Sorting by

×

WRUR: INISIATIF KAMPUNG DIGITAL MELAKA DIPERHEBATKAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 23 Februari – Inisiatif Kampung Digital Melaka terus diperhebatkan sekali gus menjadi medium memudahkan penyampaian urusan kerajaan secara cepat dan tepat.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kaedah pengurusan rakyat atau ‘citizen management’ dapat diterjemahkan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan sistem Kampung Digital.

Katanya, menerusi Kampung Digital ia akan memberikan pelbagai maklumat tentang sesebuah kawasan setempat.

“Kampung Digital ini akan memberikan pelbagai maklumat tentang kawasan setempat dan juga akan menjadi satu medium yang mana pengurusan kaedah ‘delivery system’ atau penyampaian terhadap segala urusan kerajaan ini boleh disalurkan dengan cepat dan tepat.

“Sebagai contoh menerusi Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Pengkalan Batu ini, pendekatan baharu diberikan kepada Kampung Digital apabila kita dapat mengetahui tentang maklumat penghuni rumah yang sakit dan maklumat itu akan disalurkan terus kepada Exco berkaitan untuk diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi pesakit terlantar dan menampal pelekat Kampung Digital di Kampung Peringgit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin.

Media sebelum ini melaporkan, inisiatif Kampung Digital Melaka dijangka akan lengkap dalam tempoh enam bulan,

Apabila lengkap kelak, sebanyak 657 buah kampung di Negeri Melaka akan ditransformasikan dengan alamat baharu yang lengkap, selain turut diberikan kod QR untuk memudahkan pengesanan alamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

100
Kongsi :
Previous post WRUR SERENTAK DI LENDU, SUNGAI UDANG MEI DEPAN
Next post WRUR: ‘KAK SOM’ PUAS DAPAT SANTUNI RAKYAT