
MELAKA SENTRAL AKAN DINAIK TARAF, TIDAK DIROBOHKAN
PENGKALAN BATU 23 Februari – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Melaka (MCORP) akan menaik taraf infrastruktur bangunan Melaka Sentral termasuk dalam aspek sistem dan sebagainya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, memandangkan bangunan itu mempunyai identiti tersendiri, Kerajaan Negeri pastinya tidak akan merobohkan bangunan tersebut meskipun terdapat cadangan untuk membina baharu bangunan tersebut sebelum ini.
Jelas beliau, kerja-kerja naik taraf itu bagaimanapun akan dilakukan setelah mengambil kira masalah-masalah yang diteliti dan dikaji sepenuhnya.
“Peruntukan menaik taraf Melaka Sentral ini masih dalam kajian setelah mengambil kira infrastruktur dan bahagian-bahagian lain yang akan dinaik taraf.
“Selain mengambil kira faktor kos, langkah menaik taraf Melaka Sentral diputuskan dengan mengambil kira keselesaan pengguna khususnya penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas di terminal berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Pengkalan Batu, di perkarangan Melaka Sentral, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, faktor keselesaan penumpang juga menjadi keutamaan Kerajaan Negeri memandangkan terdapat lebih 220 perjalanan bas di Melaka Sentral pada setiap hari.
“Usaha ini (menaik taraf) dijangka akan mengambil masa sempurna sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun,” tambah beliau.
Terdahulu, Ab Rauf diiringi kenamaan turut mengadakan lawatan ke sekitar Melaka Sentral bagi melihat sendiri masalah dan kerosakan yang berlaku di terminal bas berkenaan.
Beliau turut menyantuni peniaga dan penumpang yang berada di dalam terminal berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.