
WRUR BUKTI KERAJAAN MELAKA BERSUNGGUH-SUNGGUH DEMI RAKYAT
PENGKALAN BATU 23 Februari – Inisiatif mewujudkan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menjadi bukti Kerajaan Negeri pada masa ini bersungguh-sungguh dalam mendengar denyut nadi rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi program itu, kesemua Exco, wakil rakyat dan jabatan serta agensi Kerajaan Negeri ‘berkampung’ selama dua minggu di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyelesaikan permasalahan, selain menyediakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Jelas beliau, edisi kedua yang berlangsung di DUN Pengkalan Batu telah menunjukkan satu kejayaan yang membanggakan menerusi pelbagai penambahbaikan yang dilakukan, selain ia turut mendapat respon positif daripada rakyat.
“Program ini telah berjaya mencerminkan bahawa pentadbiran kerajaan di Negeri Melaka begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan sistem penyampaian kepada rakyat dalam aspek pengurusan sosial ataupun kaedah pengurusan masyarakat ini boleh ditambah baik.
“Ia juga memberi nilai tambah dalam memastikan rakyat mendapat faedah daripada usaha Kerajaan Negeri merakyatkan pentadbiran ini dan kita telah dapat mendengar denyut nadi hati rakyat tentang segala permasalahan yang ada dalam setiap satu kawasan.
“Ia mencakupi pelbagai sektor, termasuklah kebajikan, pendidikan, infrastruktur serta semua peranan yang dipegang portfolio Exco Kerajaan Negeri, sekali gus menunjukkan pentadbiran ini merupakan sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Pengkalan Batu, di perkarangan Melaka Sentral, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Selain perasmian hari terakhir WRUR, Ketua Menteri diiringi Kalsom dan kenamaan telah mengadakan lawatan berimpak di sekitar DUN Pengkalan Batu, antaranya ke Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit.
Kunjungan ke memorial itu turut menjentik hati Ab Rauf yang terkenangkan pemberian hadiah basikal oleh Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba untuk digunakan beliau pergi ke sekolah untuk menuntut ilmu.
Selain itu, Ketua Menteri telah menziarahi pesakit terlantar di Kampung Peringgit, di saping menyampaikan bantuan bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga anak pesakit yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi di Kedah namun mempunyai kekangan kewangan untuk membayar yuran.
Pada sebelah pagi, Ab Rauf turut menyempurnakan gimik penyerahan ‘Guardian Boat’ iaitu bot yang akan membersihkan sampah-sampah dan menjaga kualiti air di Sungai Melaka hasil kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Selain itu, beliau turut menyertai program mengecat mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Peringgit, selain menampal pelekat Kampung Digital di Kampung Peringgit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.