
‘TERIMA KASIH TAK LUPA JASA TUN ABDUL GHAFAR BABA’
PENGKALAN BATU 23 Februari – Lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, Bukit Peringgit, hari ini dianggap sebagai momen berharga buat keluarga Allahyarham.
Anak keempat Allahyarham, Datin Seri Zainun Abdul Ghafar berkata, Ab Rauf adalah antara pemimpin negeri ini yang meluangkan masa melawat memorial itu yang sebelum in menjadi kediaman rasmi Tun Abdul Ghafar ketika menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-2 dan Timbalan Perdana Menteri.
“Pada lawatan ini Ketua Menteri turut berkongsi kenangan beliau yang menerima hadiah sebuah basikal daripada Allahyarham. Perkara itu memberi kesan yang mendalam kepada Ketua Menteri dan masih segar dalam ingatan beliau sampai sekarang.
“Sebagai anak saya berasa amat teruja kerana ramai yang datang melawat memorial, terima kasih kerana masih ramai yang ingat jasa Allahyarham,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu beliau menyambut ketibaan Ketua Menteri di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba yang juga sebahagian daripada program disusun sempena penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.
Yang turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizal Roslan; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.
Menurutnya, lokasi memorial yang sebelum ini menjadi kediaman rasmi Allahyarham di tepi jalan juga memudahkan penduduk sekitar untuk datang bagi mengadu masalah atau menyelesaikan pelbagai urusan.
“Turun bas sudah sampai, ketika hayatnya Allahyarham seorang yang tidak terlalu mengikut protokol, dia selesa dengan cara hidup orang Kampung dan itulah yang menjadi ikutan kami adik-beradik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.