
AKKB BERJAYA KUMPUL HAMPIR 20,000 KG BARANGAN KITAR SEMULA
AYER KEROH 23 FEBRUARI – Hampir 20,000 kilogram (kg) barangan kitar semula berjaya dikumpul menerusi penganjuran Program Anda Kitar Kami Bayar (AKKB) MBMB Perdana: 100 Tan KG Kitar Semula Komuniti Lestari di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), hari ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, menerusi program AKKB kali ini MBMB berjaya mengumpul sejumlah 19, 690 kg barangan kitar semula.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, program anjuran MBMB itu bertujuan mengumpul 100 tan metrik barangan kitar semul.
“Sejak dimulakan pada 2023, kutipan barangan kitar semula telah mencecah 99.572 tan metrik dan mendapat sambutan cukup memberangsangkan dalam kalangan warga bandaraya.
“Aktiviti kitar semula ini melibatkan 10 jenis barangan yang antaranya minyak masak terpakai, fabrik, peralatan elektrik dan botol plastik,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Menurutnya, pelaksanaan AKKB bertujuan mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan, sekali gus meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan.
“Malah pelaksanaan ini juga adalah untuk mendidik komuniti tentang pengurusan sisa pepejal yang betul serta menjana ekonomi melalui amalan kitar semula.
“Selain itu juga, aktiviti kitar semula juga mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pemungutan, pengasingan dan pemprosesan sisa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.