Sorting by

×

LEBIH 4,500 LED HIASI JEJANTAS TUN TEJA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PENGKALAN BATU 22 Februari – Lebih 4,500 lampu diod pemancar cahaya (LED) digunakan untuk menghiasi Jejantas Tun Teja yang merupakan mercu tanda baharu Negeri Melaka.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, naik taraf jejantas tersebut telah berjaya dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan selepas dimulakan Mac 2024.

Katanya, dengan kos keseluruhan bernilai hampir RM7.9 juta, Jejantas Tun Teja dibina berkonsepkan warisan seni bina Istana Melaka.

“Lebih 4,500 LED berwarna-warni yang menghiasi jejantas ini juga diinspirasikan daripada bendera Melaka yang menggunakan warna merah, biru kuning dan putih.

“Manakala, ukuran panjang bumbung utama jejantas ini adalah 60 ke 70 meter, dengan keseluruhan ukuran dianggarkan lebih kurang 500 meter.

“Jejantas ini juga mempunyai empat laluan pejalan kaki dari pasaraya Lotus menerusi laluan yang diberi nama Langkah Laksamana, laluan dari Taman Cempaka diberi nama Langkah Seri Kandi, Langkah Bendahara pula adalah laluan dari Melaka Sentral dan Langkah Permaisuri dari laluan bertentangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jejantas Tun Teja yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Uptown Tun Teja, Taman Cempaka, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shadan berkata lebih 50 tenaga kerja telah mengerah keringat bagi menyiapkan jejantas ikonik itu.

Ujarnya, penggunaan teknologi pencahayaan dan elemen interaktif yang berkualiti tinggi telah diguna pakai dalam usaha menceriakan jejantas tersebut.

“Elemen sejarah seperti replika meriam turut diletakkan untuk orang ramai berswafoto diatas jejantas terbabit.

“Struktur jejantas ini boleh menampung berat lebih 700 kilogram, dibina menggunakan bahan berkualiti, utuh, tahan cuaca , hujan atau panas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Kongsi :
Previous post JEJANTAS TUN TEJA PEMANGKIN EKONOMI PENIAGA KECIL
Next post 12 BAZAR RAMADAN, AIDILFITRI DI BAWAH MPHTJ