Sorting by

×

JEJANTAS TUN TEJA MERCU TANDA BAHARU NEGERI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PENGKALAN BATU 21 Februari – Jejantas Tun Teja sebelum ini dikenali sebagai Jejantas Melaka Sentral yang siap dinaik taraf diangkat sebagai produk pelancongan baharu Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jejantas tersebut mengambil nama sempena Tun Teja sebagai permaisuri pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung  Bidara berkata, reka bentuk jejantas itu diilhamkan daripada warisan seni bina Istana Melaka.

“Jejantas ini dijenamakan semula sebagai penghormatan kepada Tun Teja, seorang tokoh yang amat disanjungi dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Selain terkenal dengan kecantikan dan keperibadian yang luhur, beliau turut dihormati kerana kebijaksanaan serta keberaniannya.

“Warna-warni yang menghiasi jejantas ini pula diinspirasikan daripada warna bendera Melaka iaitu merah, biru, kuning dan putih.

“Bukan sekadar kemudahan awam, jejantas ini adalah produk tarikan baharu yang secara tidak langsung menunjukkan Melaka kini bersedia menyambut tetamu dari seluruh dunia bersempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Jejantas Tun Teja di Perkarangan Parkir Melaka Sentral, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin, barisan Exco; Timbalan  Exco Kerajaan Negeri serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata jejantas tersebut berfungsi sebagai laluan penghubung utama antara Melaka Sentral dengan pusat perniagaan, pusat beli-belah serta beberapa taman perumahan di sekitarnya.

“Kemudahan ini turut meningkatkan aksesibiliti dan meningkatkan lagi keselesaan untuk pengguna. Bukan sekadar ikon pelancongan, jejantas Tun Teja ini juga dilengkapi kios, sekali gus membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1516
Kongsi :
Previous post WABAK KUSTA TIDAK MENULAR DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI MELAKA
Next post JEJANTAS TUN TEJA PEMANGKIN EKONOMI PENIAGA KECIL