Sorting by

×

BILANGAN ASNAF DI DUN ASAHAN MENURUN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ASAHAN 22 Februari – Bilangan asnaf fakir dan miskin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menurun tahun ini berbanding tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, berdasarkan data yang diterima daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), asnaf miskin yang masih menerima bantuan adalah seramai 314 orang, berbanding 319 pada tahun lalu.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, asnaf fakir pula adalah hanya dua penerima berbanding empat pada tahun lalu.

Menurut Fairul Nizam, bagi membantu golongan asnaf di DUN berkenaan, MAIM memperuntukkan sejumlah RM136,900 bagi bantuan persediaan Ramadan kepada penerima tahun ini.

“Bantuan itu berupa RM400 bagi setiap ketua isi rumah asnaf fakir, selain mereka akan turut menerima tambahan RM100.

“Manakala, asnaf miskin menerima sebanyak RM250.00 setiap ketua isi rumah berserta tambahan RM100 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan (Zakat Fitrah) Serta Pengagihan Fidyah Kepada Asnaf Fakir dan Miskin MAIM DUN ASAHAN Bagi Tahun 2025M/1446H di Masjid An-Nur Felda Tun Ghafar, Bukit Senggeh, di sini, semalam.

Tambah Fairul Nizam, MAIM turut menyalurkan RM47,400 agihan Bantuan Fidyah iaitu hasil bayaran denda atau fidyah yang dikenakan ke atas saudara-saudara Islam kita yang lain disebabkan meninggalkan puasa dalam tahun-tahun terdahulu berjumlah RM150 kepada setiap ketua isi rumah asnaf fakir dan miskin di DUN Asahan.

Beliau bagaimanapun mengingatkan penerima untuk hanya membelanjakan wang agihan fidyah berkenaan bagi tujuan membeli barang keperluan makanan sahaja dan ia tidak boleh dibelanjakan selain daripada tujuan itu.

“Dengan adanya bantuan ini diharapkan dapat memberikan penerima semangat untuk menjalankan ibadah dengan lebih baik dan khusyuk seterusnya Menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kesyukuran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

70
Kongsi :
Previous post 12 BAZAR RAMADAN, AIDILFITRI DI BAWAH MPHTJ
Next post MELAKA KESAN TIGA LOKASI PANAS WABAK DENGGI