
PEMBEDAHAN ROBOTIK BERI NILAI TAMBAH SEKTOR PELANCONGAN KESIHATAN MELAKA
BANDARAYA MELAKA 21 Februari – Sektor kesihatan Melaka terus terkehadapan dengan pengenalan teknologi robotik dalam pembedahan yang dibawa Pantai Hospital Ayer Keroh.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, teknologi terkini itu berupaya memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan kesihatan memandangkan negeri ini terkenal sebagai destinasi pilihan pelancong dari Indonesia dan Singapura untuk mendapatkan rawatan.
Jelas beliau, menerusi sistem pembedahan robotik Da Vinci Xi, ia terbukti menjadi antara teknologi yang bukan sahaja terbaik dan selamat, bahkan lebih efisien apabila dapat mengurangkan kehilangan darah yang banyak selain mempercepatkan proses penyembuhan.
“Sudah pasti dengan adanya teknologi ini ia dapat memberi lebih keyakinan kepada pelancong kesihatan untuk datang dan menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan untuk mendapatkan rawatan.
“Tahniah diucapkan kepada Pantai Hospital Ayer Keroh kerana telah menjadi pusat perubahan pertama di Melaka memperkenalkan teknologi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sistem Pembedahan Robotik Xi Pantai Hospital Ayer Keroh di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ayer Keroh Tan Yew Aik serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengalu-alukan lebih banyak pusat perubatan di Melaka memperkenalkan teknologi terkini dalam bidang perubatan bagi menjadikan Melaka terus menjadi pilihan rakyat dan pelancong untuk mendapatkan rawatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.