Sorting by

×

MEMPERKAYAKAN KHAZANAH SEJARAH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TANJUNG BIDARA 21 Februari – Pelbagai usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memperkayakan khazanah sejarah dan warisan bangsa terutama melibatkan Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, antara insiatif dilaksanakan adalah menerusi kajian yang dilaksanakan kumpulan penyelidik melibatkan lokasi di dalam dan juga luar negara.

Menurut Ketua Menteri, pentadbiran beliau pada tahun lalu menyegerakan kajian Hang Tuah melalui sumber-sumber baharu agar generasi masa kini mengetahui asal usul dan kehebatan pahlawan itu sebagai ikon diplomat zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka.

“Susulan itu, Kerajaan Negeri berjaya mengangkat sejarah kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka dengan penemuan manuskrip dan artifak daripada pelbagai negara antaranya Belanda, Britain, Jepun dan Kepulauan Bentan.

“Alhamdulillah, kesemua bahan artifak telah dipamerkan sewaktu Pameran Hang Tuah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sehingga berjaya menarik lebih 28,000 pengunjung dan lebih 500,000 ‘audiens’ secara dalam talian,” kata Ketua Menteri ketika berucap merasmikan program Bicara Sejarah ProBEST@AG Bersama Ketua Menteri Melaka di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkuflee Md Zin.

Yang turut hadir adalah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Alor Gajah, Ab Malek Kasim, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Azlina Abdul Kudus, pengetua dan guru besar sekolah sekitar Alor Gajah

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, Kerajaan Negeri akan memperluaskan lagi penyelidikan iaitu berhubung kehebatan Panglima Awang atau Henry The Black, pelayar bangsa Melayu pertama yang mengelilingi dunia.

“Tahun ini saya telah mengarahkan pihak Institut Tun Perak untuk melakukan kajian berkaitan Laksamana Cheng Ho serta hubungan diplomatik antara kerajaan China dan Kesultanan Melayu Melaka.

“Ia bagi memperincikan lagi bukti penting sebagaimana tercatat dalam Ming Shi Lu mengenai penganugerahan tugu Bukit Pelindung Negara dihadiahkan oleh Maharaja Yongle kepada Parameswara serta apakah tepat catatan kehadiran sebanyak tujuh kali Laksamana Cheng Ho ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

89
Kongsi :
Previous post 20 FEBRUARI: LIMA KELAB GOLF DI MELAKA DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA
Next post PERUNTUKAN LEBIH RM95,000 BAIK PULIH LIMA RUMAH USANG