Sorting by

×

PUAS ‘BERENDAM’ DI AYER PANAS GADEK

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

GADEK 21 Februari – Orang Melaka tidak melepaskan peluang berkunjung ke Gadek Hotspring Wellness & Spa Resort yang menawarkan kemasukan percuma sempena cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, semalam.

Salah seorang pengunjung, Mohd Hafis Yusof, 43, menyifatkan inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan kemasukan percuma adalah peluang terbaik buat dia sekeluarga beriadah di Gadek Hotspring.

“Ini adalah peluang keemasan buat kami sekeluarga beriadah di sini (Gadek Hotspring), disamping nikmati cuti umum sempena Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 20 Februari.

“Saya ucapkan terima kasih buat Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh) kerana laksanakan kemasukan percuma di beberapa lokasi pelancongan negeri ini termasuk Gadek Hotspring,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui di Gadek Hotspring Wellness & Spa Resort, semalam.

Bagi Mohd Hazri Hamdan, 32, dia menyambut baik inisiatif dari Kerajaan Negeri yang dianggap sebagai merancakkan nilai pelancongan negeri dalam kalangan masyarakat setempat amnya.

“Inisiatif kemasukan percuma ini adalah amat bagus kerana di samping dapat menambah jumlah pelancong dari dalam serta luar Melaka, ianya dilihat mampu melonjakkan industri pelancongan Melaka lebih terkehadapan.

“Malah, saya bersyukur kerana dapat beriadah bersama ahli keluarga pada hari bersejarah ini,” jelasnya.

Zamri Amin, 51, pula menyifatkan hari ini adalah hari istimewa buat orang Melaka kerana inisiatif kemasukan percuma diadakan sempena tarikh bersejarah negara.

“Selain dapat nikmati kemasukan percuma di beberapa kawasan pelancongan negeri ini, orang Melaka amatlah beruntung kerana ianya dilaksanakan sempena hari yang amat bersejarah buat negara.

“Inisiatif kemasukan percuma ini diharap dapat diperluaskan pada cuti peristiwa yang akan datang dan sudah tentu kami orang Melaka akan terus menyokong sebarang inisiatif dari Kerajaan Negeri,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan kemasukan percuma ke 13 destinasi pelancongan di negeri ini bersempena cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara pada 20 Februari.

Lokasi menawarkan kemasukan percuma pada tarikh berkenaan adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Muzium-muzium di bawah Muzium & Galeri Melaka (PERZIM), Zoo Melaka, Melaka Wonderland Theme Park, A’Famosa Water World, Muzium Penjara Malaysia Melaka, Kompleks Air Panas Gadek, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Air Panas Cherana Putih, Melaka River Park, Kompleks Kraf Melaka dan lima Kelab Golf di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2289
Kongsi :
Previous post BONGKAR SEMULA KEGEMILANGAN, KEHEBATAN MELAKA
Next post 20 FEBRUARI: LIMA KELAB GOLF DI MELAKA DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA