Sorting by

×

MELAKA KESAN TIGA LOKASI PANAS WABAK DENGGI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MACHAP JAYA 22 Februari – Tiga lokasi panas (hotspot) wabak denggi telah dikesan di Negeri Melaka menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan baru-baru ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, tiga lokasi itu adalah Taman Bertam Jaya, Kampung Tengkera dan Taman Siantan Seksyen 2.

Susulan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka akan memperluaskan kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri dalam usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk Aedes yang membawa kepada wabak denggi.

Ia jelasnya, termasuklah mempergiatkan program gotong-royong secara mingguan di kawasan kampung dan taman perumahan.

“Menerusi gotong-royong dan pembersihan bersama PBT yang mungkin dijadualkan secara mingguan kita pasti bukan sahaja dapat memusnah tempat pembiakan malah dapat mengambil tindakan awal.

“Misalnya, dalam operasi yang dilakukan sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dapat mengenal pasti antara kawasan yang menjadi tempat pembiakan seperti di tempat pembuangan sampah haram,” katanya.

Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, lebih membimbangkan pihaknya apabila JKN Melaka berjaya mengesan tindakan berani pihak tidak bertanggungjawab yang menceroboh tanah rizab dan kemudiannya menjadikan kawasan itu sebagai kebun haram yang membiak nyamuk Aedes.

“Seperti yang berlaku di kebun haram, bekas-bekas yang dibiar dan ditinggalkan kemudian menjadi tempat air bertakung lalu Aedes membiak.

“Untuk itu JKN bersama-sama PBT setempat akan bergerak lebih agresif agar perkara ini tidak berlaku dengan meluas,” katanya.

Jelasnya, sehingga Minggu Epid 7, sebanyak 230 kes denggi direkodkan di Melaka.

Namun, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 143 kes atau -38.34 peratus berbanding tempoh masa sama tahun lepas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post BILANGAN ASNAF DI DUN ASAHAN MENURUN
Next post MAIM SEDIA PERUNTUKAN RM11.77 JUTA MERIAHKAN RAMADAN