Sorting by

×

MELAKA MASIH TUNGGU KELULUSAN BAIK PULIH BANGUNAN MERAH

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 19 Februari – Kerja-kerja baik pulih Bangunan Merah yang mengalami runtuhan struktur baru-baru ini masih belum dapat dilakukan kerana menunggu kelulusan daripada Jabatan Warisan Negara.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum ini telah mengemukakan permohonan bagi membolehkan kerja baik pulih dapat dilaksanakan.

“Kita masih lagi menunggu kelulusan daripada Jabatan Warisan Negara untuk melakukan kerja baik pulih dan kita amat berharap kelulusan itu diperoleh dalam tempoh terdekat.

“Kerana itulah saya katakan dahulu, usaha proaktif yang dilakukan kerajaan negeri menerusi MBMB melaksanakan Zon Bebas Kenderaan adalah penting bagi memelihara serta memulihara bangunan warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Majlis Makan Malam National Heritage Conference Tahun 2025 Sempena Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin serta barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) TPr. Datin Noraida Saludin serta kenamaan lain.

Menurut Rais, MBMB kini dalam peringkat kajian bagi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan secara kekal berbanding pada tiga hari seminggu pada masa ini.

“Sekarang kita sedang mengkaji untuk pelaksanaan secara kekal dan kita juga sedia maklum Ketua Menteri juga sudah memaklumkan perkara ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

“Jika kajian mendapati ia memberi impak positif dan baik untuk rakyat maka kita akan laksanakan,” katanya.

Jelasnya, sepanjang Bulan Ramadan juga, pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan akan berjalan seperti biasa kecuali jika terdapat sambutan atau program tertentu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

241
Kongsi :
Previous post PERSATUAN HOKKIEN SEDIA JADI ‘DUTA’ TARIK PELABUR KE MELAKA
Next post PEMANDU LORI DISYAKI CURI KAYU BAKAU DICEKUP