“Hentikan spekulasi, tolong doakan Nur Aimi” – Suami
AYER KEROH 18 Dis. – “Tolonglah hentikan spekulasi yang tidak sepatutnya sebaliknya doakanlah keajaiban buat isteri, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27.
“Selepas ini, saya mahu mulakan perjalanan hidup baharu dengannya dan tinggal bersama di Melaka kerana ketiga-tiga pusara anak syurga kami juga berada di sini,”.
Itu luahan sebak Muhammad Alhafis Mohamad, 29, yang mengakui terus perlu menguatkan semangat demi memberi kekuatan buat isterinya yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak, sejak Rabu lalu.
Menurutnya, ujian yang menimpanya amat berat setelah kehilangan tiga anak yang masih kecil selain isteri yang masih koma.
“Sejak hari kejadian, saya tidak boleh tidur memikirkan nasib anak dan isteri terutamanya bagaimana untuk memberitahunya ketiga-tiga anak kecil kami sudah tiada.
“Sebab itu saya harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi lain yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya doakanlah keajaiban buat Nur Aimi.
“Bila emosi isteri sudah stabil, saya sendiri akan memberitahunya apa yang berlaku. Selepas itu, saya mahu mulakan perjalanan hidup baharu dengannya di Melaka tanpa anak-anak syurga kami,” katanya menahan sebak ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Seri Jati, di sini hari ini.
Dalam nahas kira-kira 3 petang Rabu lalu, Nur Aimi Nadiah, cedera parah manakala tiga anak lelakinya Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi.
Kejadian di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak itu berlaku apabila Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas sebelum melanggar belakang treler yang rosak dan berhenti di laluan kecemasan.
Ketika itu, Nur Aimi Nadiah dalam perjalanan dari Melaka setelah bertemu suaminya sebelum pulang ke Pulau Pinang kerana bekerja di negeri itu.
Mengulas perkembangan isterinya, Muhammad Alhafis berkata, hari ini doktor memaklumkan Nur Aimi perlu ‘ditidurkan’ sementara menunggu keadaannya stabil bagi membolehkan pembedahan dilakukan.
“Setiap hari doktor akan menghubungi saya memaklumkan perkembangan rawatan isteri dan sekiranya terdapat perubahan baharulah saya akan ke Ipoh untuk melawatnya.
“Buat sementara ini, doktor tidak menasihati saya untuk melawatnya kerana keadaan yang belum mengizinkan sehingga dia betul-betul stabil,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Nur Aimi berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ICU pagi semalam.