Sorting by

×

COVID-19: Melaka cadang laksana PKPD di Pusat Koreksional Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 18 Dis. – Susulan pertambahan mendadak kes COVID-19 di negeri ini, kerajaan negeri mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Pusat Koreksional Jasin (PKJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pelaksanaan itu penting dalam usaha mengawal dan mencegah penularan jangkitan daripada merebak kepada kakitangan penjara dan komuniti.

“PKPD dicadangkan untuk dilaksanakan kerana terdapat peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 dalam masa yang singkat dan berterusan dalam kalangan banduan di PKJ.

“Hal ini bertujuan untuk menjalankan saringan kontak rapat secara menyeluruh, kuarantin kontak secara berpusat dan untuk tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengelak penularan jangkitan kepada kakitangan penjara dan komuniti,” katanya.

Selain PKPD, Sulaiman berkata, kerajaan negeri turut menangguhkan kemasukan banduan baharu ke semua penjara transit di Negeri Melaka berkuatkuasa serta-merta.

Pada masa sama, jelasnya, Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) bagi COVID-19 juga telah diaktifkan di Penjara Sungai Udang dan PKJ bagi tujuan perawatan dalam kalangan kes berisiko rendah.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Melaka untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh MKN dan KKM.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka. Segala maklumat perlu dipastikan kesahihannya dan hanya kenyataan KKM dan JKN Melaka perlu dijadikan rujukan rasmi,” katanya lagi.

Semalam, Melaka merekodkan pertambahan 98 kes baharu positif COVID-19 yang menjadikannya angka tertinggi pernah direkodkan di negeri ini dalam sehari.

Kesemua kes itu berpunca daripada saringan banduan yang datangnya dari Kluster Jalan Harapan yang kini masih aktif di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Artikel Berkaitan: COVID-19: Jumlah kes mendadak hanya melibatkan banduan

Views:

1520
Kongsi :
Previous post COVID-19: Jumlah kes mendadak hanya melibatkan banduan
Next post Lazada Malaysia cipta rekod baharu jualan 12.12
Ubah saiz-+=