
RM9 JUTA HANTAR GURU IKUTI KURSUS AI DAN KEPIMPINAN DI LUAR NEGARA
BUKIT KATIL 17 Februari – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM9 juta untuk menghantar guru menjalani kursus kecerdasan buatan (AI) dan kursus kepimpinan di luar negara pada tahun ini.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi berkata projek perintis ituĀ bertujuan memantapkan lagi kemahiran guru dalam dua bidang berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan tahap mutu pendidikan negara.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berulang kali menyebut mengenai kualiti akses pendidikan yang bukan sahaja merangkumi aspek kurikulum dan infrastruktur namun perlu juga tingkatkan kemahiran dalam bidang kepimpinan.
“Guru mungkin akan dihantar menjalani kursus di Singapura atau paling jauh Amerika Syarikat, mungkin tahun ini KPM akan hantar 20 ke 30 orang untuk mengikuti kursus di luar negara.
“Kursus ini pula paling pendek sebulan dan jika ambil tempoh yang lama sehingga tiga bulan. Kita sedang mencari universiti-universiti ternama di luar negara yang bersesuaian bagi perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Melawat Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalender Akademik Sesi 2025/2026 di SK Jalan Datul Palembang, Bukit Bari, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Politik Kanan Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ruji berkata KPM sedang mengenal pasti calon-calon guru sesuai bagi dihantar untuk mengikuti kursus terbabit.
“KPM akan memilih guru-guru yang akan pergi ke kursus ini menerusi beberapa kriteria yang ditetapkan di mana tujuannya adalah untuk kepimpinan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.