Sorting by

×

SASAR PESERTA SELURUH MELAKA – PANGLIMA 3 DIVISYEN

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Februari – Penganjuran siri kedua Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform akan datang menyasarkan penyertaan lebih ramai peserta dari seluruh negeri ini.

Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad berkata, sasaran tersebut adalah berdasarkan sambutan memberangsangkan pada siri pertama.

Mengulas lanjut Mohamad Suria berkata, pihaknya akan melihat semula beberapa aspek yang dapat ditambahbaik berdasarkan rekod penganjuran siri pertama program tersebut.

“Pada siri seterusnya, seperti disebut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, 3 Divisyen Tentera Darat Malaysia (TD) akan menjadi hos kejohanan ini pada siri kedua akan datang,

“Kami akan melihat kembali mana-mana ruang yang boleh diperbaiki dan tambah baik segala kelemahan perjalanan kejohanan di siri pertama ini.

“Kebarangkalian pada siri akan datang, kami ingin melihat jumlah penyertaan yang lebih banyak, bukan sahaja libatkan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Tanjung Bidara, tetapi seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui selepas Majlis Penutup Karnival Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati & Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Ab Rauf di Dataran Pantai Tanjung Bidara, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima-Panglima Formasi; Pegawai-Pegawai Kanan serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Tambahnya, walaupun TDM menjadi juara keseluruhan kejohanan siri pertama , namun apa yang menjadi keutamaannya ialah pemupukan silaturahim kesemua peserta tanpa mengira agensi Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.

“Secara keseluruhannya TDM yang diwakili oleh 3 Divisyen dan 10 Briged Para telah menjadi juara keseluruhan. Walaubagaimanapun, sebalik kejuaraan itu, apa yang penting ialah pemupukan budaya kebersamaan.

“Bukan sahaja dalam kalangan anggota tentera tetapi juga pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang bersama-sama bertanding pada kejohanan kali ini serta masyarakat sekitar kawasan Kem Terendak ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

778
Kongsi :
Previous post WRUR: MBMB, MPHTJ SEDIA SELESAI MASALAH RAKYAT DI PENGKALAN BATU
Next post RM1.04 JUTA HIDUPKAN RAMADAN MUALAF MELAKA