Sorting by

×

MELAKA SERIUS PERANGI DADAH

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 16 Februari – Kerajaan Melaka menunjukkan komitmen tinggi dalam menangani isu dan permasalahan dadah dengan menyediakan peruntukan khas pada pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peruntukan yang disalurkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka menerusi program inisiatif peluang kedua kepulihan (Back to community).

“Tidak hanya itu, Kerajaan Negeri turut bertindak memperkasa peranan sukarelawanan bagi memastikan misi dadah terkawal 2025 berjaya dicapai.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi mereka dalam menangani isu dan permasalahan dadah dengan menyalurkan peruntukan bagi memastikan gejala ini dapat dikawal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran gimik Walkabout Perdana Sempena Pelancaran Kalendar Peringatan Hari Antidadah 2025 Peringkat Negeri Melaka di Taman Botanikal Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah AADK Negeri Melaka, Noor Azrimah Ahmad; Penolong Pengarah Pencegahan AADK Negeri Melaka Yussaini Amri Ishah dan Ikon Antidadah Daerah Alor Gajah, Chan Chin Ho.

Menurut Hee Sem, program Walkabout Perdana merupakan salah satu aktiviti utama dalam pengisian sambutan peringatan Hari Antidadah tahun 2025.

Program itu dilaksanakan serentak di seluruh negeri, di mana selain program peringkat negeri Melaka di Taman Botanikal Melaka, ia turut diadakan di kesemua tiga daerah.

Jelasnya, bagi daerah Melaka Tengah ia diadakan di Tasik One krubong; daerah Alor Gajah di kawasan Pasar Tani Kuala linggi dan daerah Jasin di kawasan Pantai Siring.

Menurutnya, pelbagai pengisian program telah diadakan antaranya, edaran pamplet mesej antidadah, zumba, sesi temu ramah, Live Streaming Facebook, pameran dan kaunter perkhidmatan AADK, kempen sejuta Ahli SKUAD Antidadah, treasure hunt, kuiz antidadah dan aktiviti interaktif bersama pengunjung.

“Tujuan program adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya dadah melalui interaksi secara langsung dan penyampaian mesej secara visual.

“Program ini membina komunikasi dua hala, menarik perhatian orang ramai, menggalakkan penglibatan komuniti, serta memperluaskan jangkauan kempen melalui media bersemuka dan media sosial,” katanya.

Mesej utama Sambutan Peringatan Hari Antidadah tahun ini adalah ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’, di mana ia mencerminkan komitmen bersama dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah dan bahan serta menanamkan kesedaran dan tanggungjawab kolektif dalam kalangan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

168
Kongsi :
Previous post KONSERT @TANJUNG BIDARA BERLANGSUNG MERIAH
Next post PENDIDIKAN, KEBAJIKAN FOKUS UTAMA DUN TELOK MAS