Warga Telok Mas sahut cabaran turunkan berat badan
TELOK MAS 17 Dis. – Seramai 170 warga Telok Mas tampil menyahut cabaran ‘Turunkan Berat Badan 50 Hari’ yang dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad.
Noor Effandi berkata, program itu diadakan bertujuan untuk menyemarakkan gaya hidup sihat, selain menetapkan sasaran untuk menjadikan warga DUN Telok Mas lebih kurus, lebih sihat, lebih bergaya dan lebih ceria.
Menurutnya, cabaran tersebut turut menampilkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,000 dengan mempertandingkan empat kategori.
“Antara kategori yang disediakan ialah wanita atas 90 kilogram (kg), lelaki atas 90 kg, wanita bawah 90 kg dan lelaki bawah 90 kg. Juara bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM500.
“Kesemua peserta yang menyertai cabaran ini akan ditimbang pada pada hari pertama dan kemudian akan ditimbang sekali lagi pada hari ke-50 nanti, yang mana pemenang akan dinilai berdasarkan peratusan penurunan berat badan terbaik,” katanya.
Tambah Noor Effandi, kesemua peserta yang menyertai cabaran itu akan dibahagi kepada 10 kumpulan dan setiap satu kumpulan akan disediakan seorang mentor kesihatan khas yang akan memantau aktiviti harian peserta melalui kumpulan Whatsapp masing-masing.
Jelasnya, mentor itu juga bertanggungjawab memberikan tip kesihatan dan aktiviti-aktiviti berfaedah yang perlu dilakukan mengikut kaedah kesihatan yang betul.
“Kita juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Fakulti Kejururawatan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang menjadi rakan strategik cabaran ini.
“Diharap sasaran kita menjadikan warga DUN Telok Mas lebih kurus, lebih sihat, lebih bergaya dan lebih ceria selalu dapat dicapai,” ujarnya.
Untuk rekod, cabaran berkenaan bermula pada 12 Disember lalu dan akan berakhir pada 31 Januari 2021 untuk menentukan pemenang setiap kategori.