![6154537785999081711](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6154537785999081711.jpg?v=1739362957)
WANITA MELAKA PERLU MANFAAT TEKNOLOGI TERKINI – KALSOM
PENGKALAN BATU 13 Februari – Golongan wanita perlu sentiasa cakna dengan teknologi terkini supaya tidak ketinggalan dan berpengetahuan serta mahir menggunakan teknologi.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata pengetahuan dan kemahiran sangat penting dalam memastikan diri tidak terdedah kepada sebarang bentuk ancaman.
Katanya, inisiatif Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) menganjurkan HAWA AI, Business Technology Melaka dilihat sebagai antara cukup baik dalam memberi pemahaman serta membantu wanita di negeri ini mengaplikasi teknologi masa kini.
“Program ini cukup bagus, di mana kita berjaya menghimpunkan lebih 100 golongan usahawan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu untuk mempelajari ilmu teknologi AI atau kecerdasan buatan ini dalam kehidupan seharian dan boleh diguna `pakai dalam urusan perniagaan.
“Saya menerima respon positif, ada dalam kalangan peserta berkongsi dengan saya, menerusi program ini kebuntuannya dalam membuat bahan untuk perniagaannya sudah berjaya diselesaikan. Jadi bagi saya program ini bagus untuk diketengahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Program HAWA AI Business Technology Melaka, di sebuah hotel di sini, semalam.
Hadir sama, Penyelaras Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata program seumpama itu wajar untuk diperluas ke seluruh Parlimen dalam negeri ini.
“Kita bercadang program yang mengajar wanita mengenai teknologi AI ini diperluaskan ke seluruh parlimen di negeri ini.
“Melaka mempunyai enam parlimen, jadi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah satu Parlimen boleh menghantar wakil ke program ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.