![Img 20250212 212052 539](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250212_212052_539.jpg?v=1739366520)
WRUR: HAWA PERKENAL TEKNOLOGI AI KEPADA USAHAWAN WANITA PENGKALAN BATU
PENGKALAN BATU 13 Februari – Teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian banyak membantu memudahkan urusan termasuk meningkatkan daya saing dalam kalangan wanita.
Penyelaras Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, menerusi Program HAWA AI, Business Technology Melaka, ia dapat memberi ilmu berkaitan teknologi dalam memastikan golongan wanita lebih berdaya saing khususnya dalam urusan perniagaan.
Menurut beliau, program itu turut mendapat kerjasama Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM-Melaka), Kumpulan Penyelidikan Innovative Software System and Services (IS3), Microwave Research Group (MRG), Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK) UTeM, serta JELITA TVET Women Academy.
Jelasnya, program bermanfaat itu dimulakan pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Pengkalan Batu dan menghimpunkan lebih 100 usahawan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
“Program ini kita mulakan di DUN Pengkalan Batu seiring dengan portfolio Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin yang mana program ini mampu memberi ilmu penting untuk wanita lebih berdaya saing dalam kehidupan seharian dan menguruskan perniagaan.
“Kita telah menjemput pensyarah UTeM yang pakar dalam bidang AI ini untuk memberi perkongsian dan ilmu kepada usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program HAWA AI, Business Technology Melaka yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin di sebuah hotel, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Haryaty berkata pihaknya menerima respon positif mengenai penganjuran program tersebut dan dijangka akan diperluaskan lagi ke peringkat lebih tinggi.
“HAWA Melaka terpanggil untuk memastikan penggunaan teknologi AI ini diperluaskan di peringkat akar umbi, khususnya untuk kaum wanita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.