Sorting by

×

ISRAK MIKRAJ DIHAYATI, JASA PERWIRA ATM DIHARGAI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

ALOR GAJAH 12 Februari – Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah telah merasmikan Program Sambutan Hari Israk Mikraj Peringkat Parlimen Alor Gajah yang berlangsung di Masjid Ar-Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Program itu merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah dengan kerjasama pelajar tahun akhir, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah serta Masjid Ar-Rahman.

Program itu bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan mengambil iktibar daripada peristiwa Israk Mikraj melalui ceramah yang telah disampaikan oleh Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan.

Menurut Adly, program berbentuk keagamaan seumpamanya memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap Islam serta menyemai nilai-nilai murni dalam komuniti, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan keilmuan, kesejahteraan, dan keharmonian.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasa aspek keilmuan dan kerohanian dengan menganjurkan pelbagai program keilmuan dan keagamaan setiap tahun sebagai sebahagian daripada usaha membina masyarakat yang berilmu dan berakhlak selari dengan Dasar Rahmatan Lil Alamin yang menjadi tunjang kepada kerajaan hari ini,” katanya.

Whatsapp Image 2025 02 12 At 13.06.56 (1)
ADLY dan kenamaan bergambar bersama pada Program Sambutan Hari Israk Mikraj Peringkat Parlimen Alor Gajah di Masjid Ar-Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal.

Menurut Adly, selain keagamaan dan keilmuan, program itu turut menyelitkan penyampaian sumbangan kepada 40 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah banyak berkorban untuk negara.

“Setakat Disember 2024, seramai 218,270 veteran telah berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), dengan lebih kurang 12,000 daripadanya terdiri daripada penduduk Negeri Melaka,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Adly turut memuji penglibatan mahasiswa dalam program berkenaan, sekali gus membuktikan generasi muda bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki keprihatinan tinggi dalam membangun masyarakat.

“Penglibatan mahasiswa dalam program kemasyarakatan seperti ini menunjukkan bagaimana ilmu yang diperolehi di universiti dapat diterjemahkan ke dalam realiti dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Dengan penganjuran program seperti ini, diharapkan masyarakat akan terus menyokong inisiatif yang memartabatkan ilmu keagamaan, menghargai jasa veteran, serta memperkukuh peranan mahasiswa dalam pembangunan negara,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

80
Kongsi :
Previous post KERAJAAN NEGERI SENTIASA PRIHATIN NASIB ASNAF
Next post CUACA PANAS: BONGKAH AIS ‘BERVITAMIN’ UNTUK HAIWAN ZOO MELAKA