![Whatsapp Image 2025 02 12 At 10.25.46](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-12-at-10.25.46.jpeg?v=1739327301)
PEKERJA KILANG MAUT MOTOSIKAL TERBABAS REMPUH TEMBOK BATU
REMBIA 12 Februari – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas ketika melalui selekoh di jalan berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam, mangsa Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27 meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari Melaka Pindah menghala ke Jalan Kasa Height untuk pulang ke rumah.
Katanya, ketika melalui lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah kanan jalan dan melanggar tembok batu.
“Akibat kemalangan tersebut mayat mangsa ditemui terbaring di bahu jalan bersebelahan motosikal mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pol 61 telah diserahkan kepada Forensik Alor Gajah untuk menjalankan bedah siasat dan kenderaan terlibat telah dibawa ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, Ashari berkata, pihaknya sedang mengesan saksi bebas yang melihat kejadian kerana terdapat dakwaan ada sebuah lagi motosikal mengekori mangsa ketika kejadian.
“Kita sedang menyiasat dan mengesan saksi yang melihat kejadian itu. Sebarang maklumat lanjut akan dikongsi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.