![6150190291253052751](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6150190291253052751.jpg?v=1739268200)
MAJLIS GRADUASI RAI 142 MURID TADIKA JAIM
BANDARAYA MELAKA 12 Februari – Seramai 142 murid Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diraikan pada Majlis Apresiasi Tadika JAIM Kali Ke-27 bagi Sesi Akademik Tahun 2024/2025 di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, semalam.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, majlis apresiasi itu adalah platform bagi menghargai peranan dimainkan oleh institusi tadika dalam membentuk kemenjadian generasi muda.
“Terima kasih kepada semua pihak pengurusan tadika, pendidik dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak berkualiti di negeri ini.
“Difahamkan majlis ini adalah acara penting yang mewarnai takwim Bahagian Pendidikan JAIM pada setiap tahun, bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang murid-murid.
“Saya berbangga dengan kemajuan dicapai institusi pendidikan awal seperti tadika JAIM ini, sudah tentu pendidikan menjadi agenda utama pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan yang dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu turut berazam untuk memberikan sokongan dalam usaha memaju dan memperkasakan sektor pendidikan di negeri ini.
“Pendidikan pra-sekolah menjadi fokus utama Kerajaan Negeri, saya akan pastikan institusi ini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu menerima kemudahan dan insentif sewajarnya.
“Kita harus pastikan sistem pendidikan pra-sekolah tidak hanya berkait dengan pengetahuan akademik, tetapi meliputi aspek perkembangan emosi, sosial dan kreativiti mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.