![6150190291253052744](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6150190291253052744.jpg?v=1739266499)
KERAJAAN NEGERI SENTIASA PRIHATIN NASIB ASNAF
PENGKALAN BATU 12 Februari – Usaha Kerajaan Negeri menyantuni asnaf menerusi agihan sumbangan persediaan Ramadan mendapat maklum balas yang amat positif daripada golongan kurang berkemampuan.
Terbaharu, inisiatif dilaksanakan menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu memberi manfaat kepada 384 asnaf fakir dan asnaf miskin sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Penerima bantuan yang juga penghidap masalah saraf Rabiah Wahab, 64, menyifatkan inisiatif sumbangan persediaan Ramadan sebagai tanda Kerajaan Negeri sentiasa cakna terhadap aspek kebajikan asnaf.
“Syukur, sedikit sebanyak bantuan diterima ini memang dapat ringankan bebanan golongan seperti kami ini, apatah lagi Ramadan bakal tiba tidak lama lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia yang terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk aktiviti harian berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan Zakat Fitrah dan Pengagihan Wang Fidyah Kepada Asnaf Fakir dan Miskin MAIM DUN Pengkalan Batu di Dewan Japerun Pengkalan Batu, di sini, semalam.
Penyerahan bantuan kepada asnaf disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin yang diiringi setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.
Sementara itu ibu tunggal, Noraini Harun, 61, dari Solok Musai mengucapkan terima kasih kepada Japerun dan MAIM atas sumbangan yang dihulurkan.
“Tahun ini dimaklumkan nilai sumbangan ditingkatkan, alhamdulillah memang kena dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar ketika ini. Bantuan ini memang saya akan gunakan dengan sangat cermat memandangkan isi rumah (anak-anak) yang perlu ditanggung agak ramai,” katanya.
Manakala seorang lagi penerima, Zainal Abdullah, 65, berkata sumbangan yang diterima itu memberi makna yang amat besar kepada golongan memerlukan seperti dirinya.
“Terima kasih MAIM dan Kerajaan Negeri, semoga terus cakna dalam menyalurkan sumbangan bantuan buat rakyat yang memerlukan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.