![6150190291253052743](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6150190291253052743.jpg?v=1739262607)
MAIM AGIH BANTUAN PERSEDIAAN RAMADAN BERJUMLAH RM6.92 JUTA
PENGKALAN BATU 12 Februari – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sedang melaksanakan agihan Zakat Fitrah dan Fidyah berjumlah RM6.92 juta kepada 8,781 penerima tergolong dalam kalangan asnaf fakir dan asnaf miskin di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Negeri Melaka.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, agihan sebagai bantuan persediaan Ramadan pada tahun ini melibatkan RM5.37 juta hasil kutipan Zakat Fitrah dan RM1.55 juta lagi adalah bayaran Fidyah.
Katanya, mengikut pecahan agihan bantuan itu memberikan manfaat kepada seramai 131 penerima asnaf fakir dan 8,650 penerima asnaf miskin di negeri ini.
“Insya-Allah agihan bantuan ini dijangka selesai sebelum Ramadan. Setakat ini agihan sudah dilaksanakan di tiga DUN iaitu Ayer Molek, Pengkalan Batu dan Kesidang.
“Semua ini adalah berkat daripada jumlah kutipan zakat yang meningkat tahun lalu iaitu sebanyak RM141 juta. Berlaku peningkatan hampir RM13 juta berbanding 2023 iaitu RM128.3 juta. Jadi nilai sumbangan turut ditingkatkan seiring dengan situasi kenaikan kos sara diri ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu merangkap Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin menyampaikan sumbangan berkenaan pada Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan Zakat Fitrah dan Pengagihan Wang Fidyah Kepada Asnaf Fakir dan Miskin MAIM DUN Pengkalan Batu di Dewan Japerun, di sini, semalam.
DUN Pengkalan Batu merekodkan seramai 384 penerima asnaf fakir dan miskin dengan nilai agihan keseluruhan membabitkan RM215,850.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.