Sorting by

×

TADIKA JAIM PILIHAN IBU BAPA, LAHIRKAN MUSLIM BERKUALITI

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 11 Februari – Penekanan terhadap aspek kemenjadian generasi muda dan kesungguhan warga pendidik dalam melahirkan Muslim berkualiti menyebabkan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semakin menjadi pilihan ibu bapa di negeri ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan rekod seramai 3,514 murid mengikuti pendidikan Islam di 71 Tadika JAIM seluruh Melaka.

Ketua Menteri berkata, permintaan daripada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke Tadika JAIM terus mencatatkan angka yang sangat tinggi.

“Ini membuktikan kesedaran berhubung pentingnya melengkapkan generasi muda dengan ilmu berkaitan Islam semakin meningkat,  bukan hanya memberi impak dalam aspek perkembangan akademik, tetapi pembentukan peribadi dan sahsiah anak-anak.

“Pendidikan sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan Negeri dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan bersahsiah tinggi,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika JAIM Kali Ke-27 bagi Sesi Akademik Tahun 2024/2025 di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Majlis anjuran Unit Pendidikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu turut meraikan seramai 142 anak-anak cilik Negeri Melaka yang telah bergraduasi bagi tahun 2024/2025.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Adawiyah Lias.

Dalam ucapan beliau, Ab Rauf berharap agar JAIM terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam meningkatkan kualiti serta mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa.

“Terus fokus kepada agenda mendidik anak-anak Melaka melalui pembelajaran yang seimbang dari segi akademik, jasmani dan rohani. Semoga kejayaan anak-anak cilik pada hari ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan dalam mendidik generasi yang berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

121
Kongsi :
Previous post KEBAJIKAN GURU JAIM SENTIASA JADI KEUTAMAAN
Next post DISKAUN KOMPAUN 80 PERATUS HINGGA 23 FEBRUARI