![6147553894297880062](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6147553894297880062.jpg?v=1739177327)
FAHAMI, SELAMI DENYUT NADI RAKYAT
PENGKALAN BATU 10 Februari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menjadi platform terbaik bagi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk memahami kehendak dan menyelami denyut nadi rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Bagi penghidap masalah buah pinggang Sharifah Rudhiah Tambi, 63, inisiatif Kembara Kak Som bersempena program WRUR DUN Pengkalan Batu 2025 juga mampu mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Dia tidak dapat menyembunyikan perasaan hiba selepas menerima kunjungan Adun Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin yang singgah di kediamannya untuk bertanyakan khabar dirinya dan suaminya Naemat Minhat, 76, menderita akibat kanser prostat serta angin ahmar.
“Rasa terharu apabila menerima kunjungan Datuk Kalsom, sudah lama kami berdua tidak menerima kunjungan rombongan dalam jumlah yang ramai. Gembira kerana rumah kami meriah meskipun cuma buat seketika. Jadi bila ada orang yang datang ziarah, kami berasa sebak sangat sampai tidak boleh gambarkan bagaimana perasaan gembira itu.
“Terima kasih kepada Datuk Kalsom kerana sudi menjenguk kami berdua, memang bagus program begini diadakan kerana kami turut menerima sumbangan lampin dewasa dan barang keperluan,” katanya yang ditemui di kediamannya di Kampung Musai, Bukit Baru, di sini, hari ini.
Katanya lagi program WRUR wajar diteruskan kerana ia menjadi landasan kepada pemimpin di negeri ini untuk menyelami permasalahan rakyat
“Alhamdulillah sedikit sebanyak bantuan diberikan menerusi program ini dapat melegakan saya dan suami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.