![6147553894297880064](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6147553894297880064.jpg?v=1739172765)
WRUR: PASTIKAN TIADA YANG TERTINGGAL DI PENGKALAN BATU
PENGKALAN BATU 11 Februari – Memastikan tiada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu keciciran daripada menerima pelbagai manfaat disediakan kerajaan menjadi misi utama Datuk Kalsom Noordin sepanjang dua minggu berlangsungnya Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu menyifatkan WRUR sebagai satu lagi program terbaik hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam mendengar denyut nadi rakyat di seluruh negeri hingga ke akar umbi.
Justeru, beliau berharap penduduk DUN Pengkalan Batu untuk bersama-sama hadir bagi memeriahkan selain mengambil bahagian dalam hampir 100 program disusun sepanjang dua minggu WRUR berlangsung.
“Kita seharusnya bersyukur kerana mempunyai pemimpin yang mempunyai visi cukup luar biasa dan tidak meminggirkan aspek kebajikan serta keperluan rakyat Melaka. Saya berharap tiada yang keciciran daripada memperoleh manfaat hasil daripada penganjuran WRUR, agihan bantuan saya pastikan diberikan kepada semua yang layak.
“Penganjuran WRUR berkonsepkan Pengkalan Batu Bersih dan Harmoni. Kita akan lakukannya dan cuba berikan yang terbaik kepada rakyat di kawasan ini,” katanya ketiak ditemui selepas Majlis Pelancaran WRUR DUN Pengkalan Batu di Dewan Japerun Pengkalan Batu, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Kalsom berharap Pengkalan Batu dapat dijadikan penanda aras dan rujukan kepada DUN-DUN lain dalam penganjuran WRUR edisi berikutnya nanti.
“Kita terus komited untuk merealisasikan gerak kerja yang telah dirancang. Kita mahu terus ke hadapan dan menyentuh hati rakyat DUN Pengkalan Batu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.