Sorting by

×

PENIAGA DIINGATKAN JANGAN NAIKKAN HARGA SESUKA HATI

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KESIDANG 11 Februari – Peniaga seluruh Negeri Melaka disaran supaya menawarkan produk jualan masing-masing pada kadar yang disyorkan pihak berkuasa dan tidak sesekali menaikkan harga sesuka hati.

Mengulas lanjut Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan yang acapkali disuarakan pengguna.

Katanya, bagi mengelakkan isu berkenaan daripada terus membebani pengguna penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa turun padang bagi mengawal, menyelia dan memantau harga barangan semasa.

“Kerajaan Negeri menerusi portfolio saya dengan kerjasama KPDN, kami memandang perkara ini secara serius rentetan ia melibatkan aduan orang awam.

“Sewajarnya, setiap peniaga atau pemilik perniagaan perlu mainkan peranan lebih bagi memastikan harga barangan tidak dinaikkan sesuka hati,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Klinik Keluarga One Medic Bertam Malim, di sini, 8 Februari lalu.

Hadir sama Pengarah Urusan Klinik Keluarga One Medic, Dr. M. Sugania.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kawalan harga di Bazar Ramadan sekitar Melaka yang akan beroperasi sepanjang Ramadan, beliau menasihatkan para peniaga agar menetapkan harga yang relevan dan tidak menaikkan harga sedia ada.

“Sebelum ini, harga barangan dan makanan di Bazar Ramadan tidak mengecewakan, namun jika terdapat kenaikan harga barangan yang tidak relevan, orang awam dinasihatkan agar salurkan aduan kepada pihak KPDN dengan kadar segera,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

140
Kongsi :
Previous post FAHAMI, SELAMI DENYUT NADI RAKYAT
Next post WRUR: PASTIKAN TIADA YANG TERTINGGAL DI PENGKALAN BATU