
SASAR KUTIPAN ZAKAT CECAH RM150 JUTA TAHUN INI
AYER MOLEK 9 Februari – Nilai kutipan zakat bagi Negeri Melaka Tahun ini disasarkan mampu mencapai RM150 juta kata, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Rahmad berkata, bagaimanapun nilai sasaran itu akan dibincangkan semula dalam mesyuarat bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta agensi berkaitan.
“Sasaran ini juga adalah berdasarkan jumlah kutipan zakat tahun lalu yang sangat memberangsangkan iaitu sebanyak RM141 juta. Sebenarnya tahun lalu sasaran kita hanya RM135 juta, tetapi alhamdulillah kita melebihi sasaran kira-kira RM6 juta.
“Jadi tahun ini kita sasarkan RM150 juta tetapi kita akan adakan mesyuarat terlebih dahulu bagi membincangkan jumlah kutipan itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan (Zakat Fitrah) dan Pengagihan Wang Fidyah Kepada Asnaf Fakir & Miskin MAIM Melaka 2025 di Japerun Ayer Molek di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, berharap tahap kesedaran dalam kalangan Muslim di Melaka berhubung kepentingan tanggungjawab menunaikan zakat terus meningkat.
“Sudah tentu usaha ini dapat membantu golongan memerlukan khususnya asnaf fakir dan asnaf miskin meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan lebih selesa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.