Sorting by

×

PERPADUAN RAKYAT MELAKA SEMAKIN KUKUH

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KESIDANG 9 Februari – Perpaduan dan semangat kebersamaan di antara masyarakat berbilang kaum di Melaka semakin kukuh menerusi penganjuran pelbagai program anjuran Kerajaan Negeri.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi sambutan rumah terbuka yang diadakan setiap kali musim perayaan.

Jelas beliau, sokongan padu yang diberikan dalam apa jua program memberi signal positif bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri pada masa ini berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum dan seterusnya menjadi contoh terbaik di negara ini.

“Seperti penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang diadakan ini, ia bukan sahaja dihadiri masyarakat Cina, bahkan Melayu, India dan lain-lain turut bersama meraikannya.

“Ia menunjukkan bahawa perpaduan rakyat Melaka semakin erat, selain sokongan yang diberi kepada Kerajaan Negeri juga semakin kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Hee Sem yang juga Pengerusi Bersama Penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina memuji pendekatan yang diambil Ketua Menteri dalam memperkenalkan pemberian kupon percuma pada sambutan itu.

Katanya, cetusan idea itu terbukti turut memberi tempias kepada peniaga setempat untuk meningkatkan ekonomi mereka, di mana pengunjung dapat berbelanja di gerai mahupun kedai berhampiran tapak sambutan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

79
Kongsi :
Previous post MALIM FOOD TOWN SEMAKIN PADAT
Next post LEBIH 15,000 GAMATKAN RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA MELAKA