Sorting by

×

KLEBANG DICADANG LOKASI RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KESIDANG 9 Februari – Selepas diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Banda Hilir dan Kesidang, sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu tahun depan dicadang akan diadakan di DUN Klebang.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, lokasi baharu itu dicadang bagi membolehkan lebih ramai rakyat berbilang kaum merasai kemeriahan sambutan perayaan itu pada setiap tahun.

Jelas beliau, pemilihan itu juga memberi peluang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong yang merupakan antara wakil rakyat berbangsa Cina mendekati masyarakat dengan penganjuran program penuh gilang-gemilang.

“Untuk tahun seterusnya, kita akan meneruskan konsep pemberian kupon percuma kepada pengunjung di mana ia dapat membantu meningkatkan ekonomi peniaga setempat menerusi penjualan makanan dan pelbagai barangan.

“Pada masa sama, kita percaya, penganjuran rumah terbuka ini menjadi antara medan untuk memperkukuh hubungan di antara kaum memandangkan kita dapat melihat segenap lapisan masyarakat baik Melayu, Cina, India dan lain-lain turut bersama-sama memeriahkan setiap program dianjurkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

274
Kongsi :
Previous post SEMUA PBT DISARAN PERGIAT AKTIVITI CSR
Next post SUSPEK KES TEMBAK DI PUSAT BELI-BELAH SETIA ALAM DIKENAL PASTI – POLIS