MALIM FOOD TOWN SEMAKIN PADAT
KESIDANG 9 Februari – Operasi lebih 250 premis menawarkan pelbagai makanan dan minuman menjadikan Malim Food Town sebagai lokasi pilihan kepada orang ramai yang mahu menjamu selera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, sebalik perkembangan positif itu Malim Food Town kini semakin padat dengan kenderaan.
Katanya, Malim Food Town dianggarkan bermula dari Bandar Malim, Malim Jaya sehingga Taman Merdeka Permai.
Allex Seah berkata, sebagai lokasi yang semakin menjadi tumpuan ramai kemudahan awam di kawasan itu diharap dapat dinaik taraf demi keselesaan pengunjung yang singgah untuk menjamu selera.
“Malim Food Town di mana kita lihat dari Malim ke Malim Jaya sehingga Merdeka Permai terdapat lebih 250 premis makanan dan minuman yang mana jumlah itu tidak termasuk medan selera.
“Saya harap kemudahan di kawasan ini dapat dianik taraf, tahun lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan untuk menambah baik bulatan Malim Jaya sebagai langkah penyuraian trafik susulan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki kawasan Malim,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri turut memaklumkan Kerajaan Negeri cakna dengan situasi banjir kilat kerap melanda kawasan itu.
Jelasnya, sejak tahun lalu isu banjir kilat hampir selesai sepenuhnya dan masyarakat memberi reaksi positif.
“Namun usaha menyelesaikan isu banjir kilat dan beberapa isu lain membabitkan rakyat akan diteruskan demi keselesaan masyarakat,” katanya
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.