![Img 20250209 001754 703](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250209_001754_703.jpg?v=1739031604)
MELAKA PERUNTUK RM2.5 JUTA UNTUK MASYARAKAT CINA
KESIDANG 9 Februari – Sejumlah RM2.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menyalurkan bantuan kepada masyarakat Cina di negeri ini dalam pelbagai sektor.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, walaupun populasi kaum Cina di Melaka adalah sekitar 19.42 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri ini, namun denyut nadi mereka sentiasa diberi perhatian dan dibantu sewajarnya.
Jelas beliau, ia membuktikan komitmen Kerajaan Negeri yang tidak pernah meminggirkan mana-mana komuniti, sebaliknya sentiasa cakna terhadap keperluan masyarakat berbilang kaum di negeri ini yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan Negeri Melaka.
“Bantuan kepada masyarakat Cina di Melaka tidak hanya tertumpu kepada kebajikan, tetapi turut merangkumi pembangunan ekonomi dan sektor pendidikan.
“Jelaslah hasrat utama Kerajaan Negeri adalah sentiasa mendahulukan keperluan rakyat sehingga ke akar umbi tanpa mengira latar belakang bagi memastikan kebajikan rakyat Melaka sentiasa terpelihara dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Pada majlis itu, Ab Rauf bersama barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri disambut meriah lebih 15,000 pengunjung berbilang kaum yang hadir di perkarangan Malim Food Town.
Ab Rauf dan kenamaan kemudiannya menyempurnakan gimik menggaul Yee Sang sebagai pembukaan sambutan rumah terbuka kali ini.
Selepas itu, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik, antaranya tarian naga dan singa, tarian kebudayaan dan pertunjukan bunga api.
Menariknya, semua pengunjung yang hadir turut diberikan kupon bernilai RM15 secara percuma bagi membeli pelbagai juadah makanan yang disediakan, selain berpeluang memenangi 200 hadiah cabutan bertuah, termasuk motosikal, televisyen dan pakej percutian ke Dumai, Indonesia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.