Sorting by

×

KETUA MENTERI DAPAT SORAKAN GEMURUH KONTINJEN SUKAN BADAN BERUNIFORM MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

SUNGAI UDANG 8 Februari – Sorakan gemuruh menyambut ketibaan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang hadir menyaksikan beberapa acara pada Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025, hari ini.

Selain nyanyian ‘chant’ selamat datang, peserta dan penonton turut melaungkan slogan keramat ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ sebaik Ketua Menteri tiba bersama kenamaan.

Turut hadir mengiringi Ab Rauf adalah Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Mej. Jen. Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin serta lain-lain kenamaan.

Jelajah pertama Ab Rauf di Kem Terendak adalah menyaksikan perlawanan akhir acara bola sepak di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) menentang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Padang 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) Kem Terendak.

Ab Rauf bukan sahaja menyantuni peserta dan penonton perlawanan itu, bahkan turut mengumumkan suntikan semangat iaitu ganjaran istimewa RM200 kepada penjaring gol dan RM100 kepada setiap peserta yang pasukannya muncul johan pada perlawanan itu.

Selepas itu, Ab Rauf bergerak ke Padang 8 Rejimen Renjer Diraja (RRD) (Para) Kem Terendak bagi menyaksikan perlawanan futsal di antara TDM dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau meluangkan masa lebih 10 minit sebelum menuju ke venue terakhir iaitu Dewan Serbaguna Kem Terendak bagi menyaksikan perlawanan badminton.

Img 20250208 133650 579
KETIBAAN Ab Rauf disambut meriah peserta dan penonton perlawanan akhir bola sepak Kejohanan Sukan Badan Beruniform di Padang 9 RAMD (Para) Kem Terendak.

Untuk rekod, lebih 6,200 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025 yang bermula pertengahan bulan lalu.

Kejohanan pertama iaitu Sukan Dua Jiwa Satu Hati membabitkan lebih 3,100 penyertaan meliputi warga Kem Terendak, Japerun Tanjung Bidara dan Sungai Udang, Ahli Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) serta pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kem Terendak.

Ia bermula 18 hingga 31 Januari lalu dengan mempertandingkan sebanyak enam acara sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, badminton dan golf yang berlangsung di pelbagai venue di dalam Kem Terendak.

Manakala, Kejohanan Sukan Badan Beruniform pula akan berlangsung pada 1 hingga 14 Februari melibatkan penyertaan 11 badan beruniform dengan seramai 3,035 peserta mengambil bahagian.

Acara kemuncak kejohanan ini akan diadakan di Pantai Tanjung Bidara pada 14, 15 dan 16 Januari ini dengan penglibatan rakyat bersama kesemua badan beruniform terlibat.

Pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang tiga hari karnival majlis penutup itu berlangsung, antaranya sukan rakyat, Tanjung Bidara Berselawat, Jualan Rahmah, Gunting Rambut Percuma, Kenduri Rakyat, funwalk, konsert, cabutan bertuah dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post TELEVISYEN, PAKEJ PERCUTIAN MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH RUMAH TERBUKA
Next post ONE MEDIC PENUHI KEPERLUAN KESIHATAN BERTAM MALIM