![Img 20250208 020311 089](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250208_020311_089.jpg?v=1738951885)
TERUS PERHEBAT PEMBANGUNAN NEGERI MELAKA – KM
BANDA HILIR 8 Februari – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM88 juta bagi memperhebatkan lagi pembangunan Negeri Melaka sepanjang tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata peruntukan tersebut bagi melaksanakan projek dan program pembangunan yang akan memberi impak positif selain manfaat kepada pertumbuhan sosioekonomi rakyat.
Katanya, Negeri Melaka juga telah menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung beberapa projek mega yang antaranya, Pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah.
“Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral, Pembinaan Balai Polis baharu di Tanjung Minyak, Melaka dan Projek Pembinaan Lebuh Raya WCE bagi jajaran Banting ke Gelang Patah melalui pendekatan Public Private Partnership (PPP).
“Saya yakin, projek-projek ini akan merangsang pembangunan yang lebih mampan sekali gus memperkukuh
ekonomi negeri sejajar dengan tema Bajet Negeri Melaka 2025 yang lepas, Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka 2025, di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mythen Kunju Basheer; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Majlis Anugerah Pembangunan Negeri Melaka sudah memasuki edisi ketiga sejak diperkenalkan pada 2021.
“Penganjuran majlis ini adalah secara dw tahunan, dan kali ini 16 buah projek yang melibatkan 11 jabatan dan agensi telah mengambil bahagian, semua sudah selesai membuat pembentangan serta pameran ‘booth’ kajian penilaian ‘outcome’ terbaik.
“Bertitik tolak daripada penilaian outcome inilah Kerajaan Negeri dapat memantau rapat jabatan dan agensi
dalam mentadbir urus sesuatu projek atau program pembangunan daripada segi akauntabiliti serta integriti, keberkesanan manfaat kepada rakyat, ekspektasi stakeholders, kecekapan sistem penyampaian, transformasi strategik selain pengurusan nilai wang perbelanjaan.
“Melaka merupakan satu-satunya negeri yang mewujudkan pengiktirafan seumpama ini sebagai tanda penghargaan terhadap jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan, reka bentuk serta pembinaan projek yang cemerlang.
“Ini pastinya menjadi pemangkin kecemerlangan dan motivasi kepada jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka untuk terus melangkah gerak ke hadapan seiring kemajuan negeri-negeri lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.